Setelah sedia maklum sebelum wujudnya 'KEPTAN'
(Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah (Pendidikan)
Semenanjung Malaysia) sebenarnya Pembantu Tadbir (Pendidikan) dahulunya
digelar Kerani Sekolah kemudian Pegawai Kerani. Kesatuan Pegawai Kerani
Pendidikan telah pun ditubuhkan pada tahun 60an. Dan banyak perkara yang
telah diperolehi oleh Kerani Sekolah. Di antaranya meletakkan jawatan
Kerani Sekolah yang di bawah lantikan Lembaga Pengurus Sekolah kepada
lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (lantikan tetap),
mewujudkan jawatan Kerani Kanan (sekarang Pembantu Tadbir N7), meminta
adakan 'Close Service' untuk kakitangan sokongan Kementerian Pendidikan
agar penghijrahan Kerani Kanan dari Jabatan Perkhidmatan Awam ke agensi
Kementerian Pendidikan disekat.
Malangnya Kesatuan ini telah dibatalkan dalam
tahun 80an kerana tidak melaksanakan peraturan-peraturan kesatuan
sekerja. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana di masa itu yuran
bulanan ahli tidak dibuat melalui potongan Perkhidmatan Biro Angkasa
tetapi hanya dengan kutipan dibuat oleh Bendahari Agung atau wakil
negeri sahaja.
Pada 4 Ogos 1991 beberapa Pembantu Tadbir
dari Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Perak, Negeri Sembilan, dan
Pulau Pinang telah bermuafakat untuk menubuhkan semula Kesatuan ini yang
mana mesyuarat penubuhan diadakan di Jabatan Pendidikan Selangor, Shah
Alam dan dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Selangor, Tuan Hj. Jumali
bin Kasan. Ahli Jawatankuasa penaja adalah terdiri dari Pembantu Tadbir
Sukarela, mahu mengorbankan masa, tenaga mahupun wang ringgit.
Pada 15 November 1992 mesyuarat agung
penubuhan telah diadakan di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan,
Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Ybhg. Tuan Hj. Shamsudin bin Dahlan,
Timbalan Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Penubuhan semula ini adalah di atas kesedaran
dan keinsafan yang dialami Pembantu Tadbir (Pendidikan) yang menghadapi
beban kerja yang bertambah dari masa ke semasa terutamanya yang
bertugas di sekolah di samping kebajikan Pembantu Tadbir tiada
pembelaan.
Setelah Ahli Jawatankuasa Penaja ditubuhkan,
sampai masanya untuk melaksanakan pendaftaran dengan Pengarah
Pendafataran Kesatuan Sekerja. KEPTAN mendapat tentangan dari beberapa
pihak terutamanya Kesatuan AUEGCAS yang mana Presidennya adalah Presiden
CUEPACS, Saudara A.H.Ponniah. Beliau membuat beberapa bantahan agar
KEPTAN tidak ditubuhkan. Nasib KEPTAN sungguh baik kerana kelulusan
telah diberi oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja pada 2 Mei 1995 tetapi
dengan syarat 'Sekiranya KEPTAN terbatal sekali lagi, pihak Pendaftar
Kesatuan Sekerja tidak akan membenarkan Pembantu Tadbir (Pendidikan)
menubuhkan kesatuan lagi.
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia pula
mengeluarkan satu surat pekeliling kepada semua Bahagian di Kementerian
Pendidikan Pendidikan Malaysia dan semua Pengarah Pendidikan Negeri - KP
(PP)0089/61/1/Jilid. 2(18) bertarikh 11 Julai 1995. Semua Ahli
Jawatankuasa Penaja mengorak langkah menjelajah Semenanjung Malaysia
dengan perbelanjaan sendiri membantu wakil negeri menubuhkan cawangan
mengikut Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan
Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia yang difikirkan wajar.
Mesyuarat Agung Tahunan Pertama diadakan pada
27 dan 28 September 1996 bertempat di Kem Kijang, Kota Bharu, Kelantan
dan dirasmikan oleh Ybhg. Tuan Malik bin Hamzah. Setiausaha Bahagian
Pembangunan Organisasi dan Perkhidmatan, Kementerian Pendidikan Malaysia
dan pemilihan Ahli Jawatankuasa EXCO bagi tempoh 1996/1998 telah
diadakan.